Meneliti paparan-paparan permasalahan dalam masyarakat, organisasi dan rumah tangga pada masa kini menjadi-jadi yang berpunca daripada sifat ego manusia itu sendiri.
Dalam rumahtangga contohnya, sesetengah suami dan isteri yang lebih kaya, lebih berpelajaran, lebih berpangkat, lebih berkedudukan daripada pasangannya, kadang-kala terlalu payah untuk bertolak ansur. Mereka sanggup bertelagah sehingga menyebabkan rumah tangga menjadi porak peranda, semata-mata kononnya mahu mempertahankan kehebatan dan keegoan diri.
Sebagai isteri, jika mereka bos di pejabat, terhadap suami tetap juga menunjukkan sikap sebagai bos yang berwibawa, meskipun di rumah dan kadang-kala langsung tidak bertempat. Begitulah juga dengan sikap sesetengah suami yang langsung tidak mahu menerima pandangan dan pendapat isteri dalam pelbagai aspek, konon kerana dirinya lebih hebat daripada isterinya.
Justeru, rumahtangga yang sekian lama terbina akhirnya terpesong jauh dari kebahagian yang diharapkan, meskipun atas dasar cinta. Mereka lalu mencari pelbagai punca bagi mengatasi masalah-masalah yang timbul. Dalam masa yang sama juga, mereka tidak pula mengakui kesilapan diri.
Sedangkan dalam Islam, suami isteri tidak sepatutnya bersikap sedemikian. Rasulullah S.A.W. sendiri dalam usaha melahirkan keluarga bahagia, tidak pernah memandang isteri dengan sebelah mata. Malah, segala pandangan dan nasihat yang baik dari isteri, didengar dan diikutinya. Begitulah juga dengan sikap isteri-isteri Rasulullah S.A.W. terhadap baginda.
Antara contohnya, termasuklah sikap Rasulullah S.A.W. terhadap Khadijah Binti Khuwailid. Apabila Khadijah menasihati baginda agar menemui bapa saudaranya, Waraqah Bin Naufal bagi mendapatkan pandangan berhubung peristiwa yang dialaminya di Gua Hira', Rasulullah S.A.W.
langsung tidak keberatan untuk menurutinya.
Begitulah juga dengan Khadijah sendiri, meskipun berkedudukan sebagai tokoh korporat, apabila telah berumahtangga dengan Rasulullah S.A.W., beliau benar-benar meletakkan suaminya itu pada tempatnya. Hasilnya, ruamahtangga baginda sentiasa berada dalam suasana kebahagiaan.
Jika Khadijah Binti Khuwailid yang begitu hebat boleh bersikap seperti itu, kenapa pula isteri-isteri umat Islam kini tidak boleh melakukannya?. Jika Rasulullah S.A.W. sanggup bersikap selunak itu terhadap isterinya, sedangkan permasalah yang dialaminya itu turut melibatkan persoalan berkaitan kenabian dan kerasulan, apalah sangat masalah-masalah yang dialami oleh suami-suami pada masa kini sehingga enggan mencontohinya?. Sama-samalah kita mengambil iktibar............... .
No comments:
Post a Comment