Sunday, 5 June 2011

Salam Sering Dilupakan

          Setiap bangsa dan agama di dunia ini, mempunyai ucapan tersendiri untuk perkenalan sesama  mereka. Orang Cina terkenal dengan ucapan "Ni hou ma", orang India "Vanakam", orang Jepun "Haji me mashite", Ohayo gozaimas, Konnichiwa, Kombanwa", orang Inggeris atau barat "Hello", manakala bangsa-bangsa lain pula dengan ucapannya tersendiri.
          Dalam Islam, kita juga ada ucapan kita yang tersendiri iaitu ucapan "Salam". Salam merupakan satu perkara penting dalam Islam. Ia bukan ucapan perkenalan antara sesama Islam, tetapi juga sebagai lambang keIslaman seseorang itu serta lambang perpaduan umat Islam.
           Lebih jauh dari itu, ucapan perkenalan bangsa-bangsa lain di dunia ini adalah peniruan dari salam yang diperkenalkan oleh Islam. Hasilnya, bangsa-bangsa lain muncul dengan keunikannya tersendiri dan maju dengan peniruan itu sehingga dikagumi oleh bangsa-bangsa lain. Namun terdapat juga orang Islam yang turut meniru ucapan perkenalan bangsa-bangsa lain, terutama ucapan pengenalan orang Inggeris atau barat, bukan sahaja betemu dengan sesama Islam dari kalangan bangsa lain, malah dengan sesama bangsa sendiri.
          Patutkah kita selaku orang Islam bersikap seperti itu?. Sedangkan dalam Islam sudah ada ucapan pengenalan tersendiri. Adanya salam dalam Islam jelas melambangkan kesempurnaannya. Kita sepatutnya berbangga dengan ucapan salam yang diperkenalkan oleh Islam dan berbangga menjadi penganut Islam kerana Islam adalah agama yang sempurna dalam segala hal.
          Sebagi umat Islam, kita perlu faham dengan hakikat itu. Kita tidak sepatutnya malu dan enggan untuk membudayakan ucapan salam dalam kehidupan kita. Apatah lagi sehingga sanggup mengambil budaya orang asing untuk diamalkan dalam kehidupan. Sebaliknya, kita patut menjadikan amalan memberikan salam ketika bertemu sesama Islam sebagai budaya dalam hidup kita dan bukan hanya kepada orang yang kita kenali sahaja. Dengan itu, barulah perpaduan umat Islam semakin utuh, umat Islam menjadi maju, dikagumi bangsa-bangsa dan penganut agama lain di dunia ini. Sama-samalah kita renung-renungkannya dan beramal.
        
        

No comments:

Post a Comment